Reunion Batch 1994

Reunion Batch 1994

Monday, July 4, 2011

Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional



Perpaduan Negara Satu keadaan di mana rakyat dari pelbagai kumpulan etnik, agama dan wilayah, hidup dengan aman sebagai satu bangsa yang bersatu dengan memberi komitmen yang penuh kepada identiti kebangsaaan berlandaskan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. (Mesyuarat Panel Penasihat Perpaduan Negara, Februari 1992)

Integrasi Nasional
Satu proses dinamik untuk merapatkan masyarakat negeri-negeri dalam Malaysia khususnya di antara negeri-negeri di Semenanjung dengan Negeri Sabah dan Sarawak, untuk membentuk satu Bangsa Malaysia yang mempunyai identitinya sendiri berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. (Jawatankuasa Integrasi Nasional, Jun 1991) Contoh isu

Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad melahirkan kebimbangannya terhadap ekstremisme berasaskan kaum di kalangan generasi muda yang semakin serius. Sebagai pemimpin yang banyak pengalaman asam garam kehidupan, beliau sudah nampak amalan memisah-misahkan diri mengikut kaum di kalangan masyarakat negara ini.

Masyarakat kita kini ada yang sedar dan tidak kurang yang langsung tidak ambil peduli akan bahaya yang mungkin timbul daripada amalan atau budaya tidak menghormati perasaan kaum-kaum lain yang pada ketika tertentu dimainkan oleh sesetengah pertubuhan atau parti politik berasaskan kaum.

Sebagaimana yang diingatkan oleh Dr. Mahathir bahawa apabila puak ekstremis daripada semua kaum semakin lantang menggalakkan perpisahan antara kaum dan mereka juga menentang sebarang usaha untuk mendekatkan antara kaum, maka kita khuatir hubungan generasi muda akan terus terpisah jauh.

Jika kita kembali meninjau sejarah pembentukan negara ini, Malaysia dibina oleh masyarakat Melayu, Cina, India, bumiputera Sabah dan Sarawak serta kaum-kaum lain. Mahu tidak mahu pewaris generasi masyarakat berbilang kaum, agama dan bahasa ini yang akan terus menjadi rakyat dan tunggak pembangunan negara ini sampai bila-bila.

Kita harus sedar bahawa perpaduan antara kaum di negara ini masih longgar. Sedikit sentimen dimainkan oleh puak ekstremisme kaum, ia boleh menyemarakkan api perkauman menjadi besar. Pengaruh dan hasutan ekstremis kaum boleh menjejaskan intergrasi nasional. Mereka ini barangkali sudah lupa pada peristiwa 13 Mei 1969 yang tercetus berpunca daripada masalah perkauman dan jurang ekonomi yang besar.

Demi keselamatan dan kesejahteraan hidup rakyat berbilang kaum di negara ini, maka kerajaan Perikatan selepas itu Barisan Nasional berusaha bersungguh-sungguh bagi melaksanakan dasar-dasar pembangunan dan perpaduan kaum melalui Dasar Ekonomi Baru.

Dasar ini yang bermatlamat menghapus jurang pendapatan antara kaum dan menyatukan rakyat berbilang kaum dilaksanakan merentasi bidang ekonomi, pendidikan, kebudayaan serta sosial. Mengapa setelah sekian banyak tenaga, masa dan wang dicurahkan dalam mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni, tetapi ada pihak tertentu pula cuba merosakkan perpaduan kaum yang menjadi teras utama kejayaan negara selama ini.

Kita harus segera sedar apa yang sedang berlaku dalam hubungan pelbagai kaum di negara ini. Berapa bilangan rakan kita yang terdiri daripada kaum-kaum lain? Tanya pada diri sendiri, apa punca menyebabkan kita tidak berminat bercampur gaul dengan kaum-kaum lain. Apakah aktiviti kemasyarakatan dan persekolahan lebih tertumpu kepada kaum-kaum masing-masing sahaja atau pengaruh dakyah pihak-pihak tertentu?

Apakah kita berasa perpaduan kaum sudah tidak lagi penting dalam era negara mengharungi dunia tanpa sempadan? Apakah penguasaan ekonomi dan pengaruh politik boleh menentukan kelangsungan hidup kaum-kaum di negara ini? Orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, Melanau dan lain-lain harus membuka minda bahawa perbuatan mementingkan kaum masing-masing secara melampau, akhirnya hanya akan membahayakan negara ini.

Justeru semua pemimpin kaum, pertubuhan walaupun berbeza ideologi politiknya harus serius mencari punca hingga wujud ekstremisme kaum yang ada di sekeliling mereka, daripada membiarkan ia merosakkan apa yang telah kita bina.

CARA-CARA MENGEKALKAN PERPADUAN KAUM

Sebagai warganegara Malaysia, bagaimanakah anda dapat memastikan perpaduan kaum berkekalan????

- memahami dan menghormati adat yang diwarisi oleh kaum lain.
- mengamalkan sikap toleransi antara satu sama lain begi mengelakkan berlakunya pertelingkahan dan perselisihan faham.
- bersama-sama memahami, menghargai dan mencintai negara ataupun tanah air agar perpaduan kaum dapat dibina.
- mengadakan kempen-kempen untuk memberi kesedaran tentang kepentingan mengekalkan perpaduan kaum.

Contoh intro

SEBAGAI negara yang dihuni penduduk berbilang kaum dan agama, perpaduan adalah teras mengekalkan suasana aman dan harmoni.

Hanya pergaulan dan persefahaman antara kaum yang berpaksikan perasaan saling menghormati agama dan budaya, menjadi landasan kukuh untuk mengekalkan peraduan rakyat.

Dalam hubungan ini, kita sependapat dengan Mantan Perdana Menteri ke-5, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahu rakyat menjadikan sambutan kemerdekaan ke-50 tahun ketika itu sebagai landasan mengukuhkan semula perpaduan yang kini dilihat semakin rapuh.

Kenyataan mantan Perdana Menteri mengenai kerapuhan perpaduan kaum, lebih-lebih lagi apabila merujuk isu membabitkan bangsa dan agama, menunjukkan persoalan hubungan antara kaum masih menjadi masalah besar.

Isu ini harus ditangani dengan bijaksana dan berhikmah oleh semua pihak agar jalinan itu dapat dipelihara dan dipererat.

Satu daripada usaha terbaik mewujudkan perpaduan dan semangat setia kawan ialah melaksanakannya pada peringkat sekolah rendah lagi dengan menggalakkan pelajar semua kaum berinteraksi menerusi kegiatan sukan dan persatuan. Kita perlu sentiasa berusaha meningkatkan keupayaan bersatu dan berusaha menghindari segala faktor yang boleh memecahbelahkan kesepakatan.

Ia perlu diberi perhatian kerana masih wujud golongan yang berkepentingan untuk bermain dengan api sentimen perkauman dan agama. Hakikat kita mampu mengekalkan cara hidup aman dan damai tidak boleh dijadikan alasan untuk kita terus berasa selesa. Kita sentiasa berdepan dengan pelbagai cabaran dari dalam mahupun luar.

Justeru, kita perlu sentiasa berhati-hati agar tidak berprasangka buruk sesama kaum selain mengelak sikap mementingkan diri.

No comments: