Reunion Batch 1994

Reunion Batch 1994

Monday, May 13, 2013

Masa MCA, Gerakan pulih diri



SHAH ALAM - Kalangan penganalisis menyambut baik langkah MCA dan Gerakan menolak jawatan dalam kerajaan membolehkan mereka memulihkan diri terlebih dahulu sebelum kembali semula ke Kabinet.

Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, setelah pulih dan yakin akan dapat semula keyakinan pengundi Cina dalam pilihan raya, kedua-dua parti itu bolehlah melihat semula keputusan mereka.

"Jika tidak ada langsung jawatan dalam kerajaan (mewakili kaum Cina), ini boleh menimbulkan isu seolah-olah BN tiada wakil daripada kaum itu," katanya.

Sehubungan itu kata Sivamurugan, apa yang boleh diberi pertimbangan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ialah melantik wakil kaum Cina yang dihormati termasuk yang bukan ahli politik.

Cadangan yang sama turut dikemukakan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) pada sidang akhbar, kelmarin yang turut bertegas supaya calon BN pada PRU13 yang kalah jangan dilantik memegang jawatan dalam kerajaan menggunakan platform senator kerana dibimbangi boleh menjejaskan imej parti selain tidak baik untuk masa depan negara.

Dalam pada itu, Geo Strategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Azmi Hassan berkata, keputusan kedua-dua parti itu tidak menghalang ketua kerajaan sama ada perdana menteri, menteri besar atau ketua menteri melantik wakil daripada kaum itu dalam Kabinet.

"Yang penting, orang Cina mesti ada wakil, lantiklah wakil yang mereka hormati," katanya.
   
Beliau berkata, melantik wakil Cina walaupun 90 peratus daripada kaum itu berpihak kepada pembangkang dipanggil affirmative action kerana jika tidak, kaum Cina mungkin akan dianggap ketinggalan dalam dasar-dasar yang kerajaan akan putuskan. Nanti timbul pula tanggapan ada dasar kerajaan yang tidak 'mesra' orang Cina," katanya.

PRU13: Kemampuan UMNO Terserlah!!!



Kemenangan BN dalam PRU13 baru-baru ini banyak ditunjangi oleh kemenangan besar kerusi yang ditandingi UMNO dan peningkatan sokongan pengundi Melayu sehingga 70% kepada BN. Berdasarkan statistik kerusi parlimen yang ditandingi UMNO pada PRU-12 berjumlah 117 kerusi,UMNO sekadar memenangi 79 manakala pada PRU13 kali ini UMNO bertanding di 121 kerusi dan berjaya meningkatkan jumlah kerusi kepada 89.

Selebihnya merupakan kerusi yang dimenangi oleh parti-parti komponen BN termasuk daripada Sabah dan Sarawak menjadikan kerusi yang dimenangi BN berjumlah 133 kerusi. 

Kejayaan BN merampas Kedah daripada Pakatan Pembangkang (PP) membuktikan bahawa sokongan dan kepercayaan orang-orang Melayu di Kedah terhadap UMNO dan BN sudah kembali.

Beberapa parlimen yang merupakan kubu kuat PAS dan PP di Kedah seperti Sik,Baling,Padang Terap,Pendang,Kulim-Bandar Bharu,Merbok dan Jerai berjaya dirampas kembali ke tangan UMNO selain mengekalkan parlimen yang dimenangi pada 2008. 

Dato' Sri Najib turut mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan tidak akan tumbang walaupun sebahagian besar kaum cina menyokong pembangkang kerana BN terus mendapat sokongan kaum Melayu Bumiputera dan kaum India yang diterjemahkan dalam PRU13 sekaligus BN mendapat mandat untuk mentadbir negara. 

Tsunami politik kaum Cina sangat dirasai apabila melihat kepada keputusan pilihan raya yang sangat jelas bahawa kaum Cina mahu ubah kerajaan sedia ada dan diberi kepada PP. 

Sebagai contoh,parlimen Seputeh yang mempunyai populasi pengundi Cina 88%, Melayu 5.4%, India 6% dan lain-lain 0.6% dimenangi oleh Teresa Kok (DAP) dengan majoriti besar melebihi 50,000 undi mengatasi calon BN dari MCA Nicole Wong Siaw Ting. 

Sangat jelas terasa sokongan Cina terhadap BN melalui MCA sudah jatuh dan mereka sudah terpengaruh dengan janji-janji perkauman yang sering ditiup oleh DAP. Selain itu,kebanyakan kerusi DUN atau Parlimen yang populasi majoriti pengundi Cina atau marginal, kebanyakan kawasan turut dimenangi oleh DAP dan calon pembangkang bukan Melayu. Kemenangan Lim Kit Siang di Gelang Patah telah meranapkan harapan bekas MB Johor,Dato' Abdul Ghani Othman untuk mewakili kawasan tersebut di Dewan Rakyat dan MatMerapu mengkagumi pendirian Dato' Abdul Ghani kerana sebagai calon Melayu berani bertarung di tempat populasi tinggi pengundi Cina dan akhirnya pengundi Cina tetap tidak mahu memberi sokongan kepada calon Melayu. 

Jika dikaji secara lebih terperinci, lihatlah demografi politik di P.Pinang apabila DAP sekali lagi mencatat kemenangan besar di P.Pinang sekaligus mempertahankan negeri tersebut daripada dirampas kembali. PP menang 30 kerusi DUN daripada 40 dan DAP memenangi sebahagian besar kerusi tersebut diikuti PKR dan PAS (satu kerusi sahaja).UMNO hanya mampu mempertahankan 10 kerusi DUN yang kebanyakan kerusi ditandingi calon Melayu dari PAS atau PKR. Sangat jelas sokongan Melayu kepada UMNO dan BN masih tidak berubah dan berlaku peningkatan sokongan terutama di kawasan populasi tinggi pengundi Melayu .

Kata-kata Perdana Menteri sangatlah tepat dan BN perlulah melipat gandakan usaha untuk terus mendapat sokongan semua kaum dan melakukan penyatuan nasional yang sangat diperlukan jika melihat kepada senario politik PRU13 yang bakal mengundang bahaya jika tidak ditangani dengan segera serta secara bijaksana oleh kerajaan BN pimpinan UMNO.

Sunday, May 12, 2013

Lakonan Anwar : Cliche, Seperti Yang Telah Dijangka



'Too obvious' kata orang putih atau papatah Inggeris ada menyatakan 'It takes a thief to recognize a thief', hanya pencuri yang mampu mengenal seorang pencuri yang lain. Seperti sebuah  buku yang laman muka suratnya sering terdedah dan transkrip yang boleh di baca dan diketahui sebelum sampai dipenghujung muka surat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih tetap dengan 'cara' lapuknya. Hanya mereka yang berfikiran lapuk jugalah yang akan tertarik membaca buku itu sehingga habis untuk menjangkakan apa yang bakal berlaku.

Bagi rakyat kebanyakan yang mindanya masih tidak dibelenggu dengan kejahilan, Anwar Ibrahim disifatkan pelakon utama dalam siaran ulangan sesuatu drama. Bagi Anwar, semua orang tidak jujur dan tidak betul serta serba serbi adalah salah. Walhal lakonan beliau sebenarnyalah yang telah menampakkan dirinya sepertimana yang dia tuduh.

Jika watak seperti Anwar cukup jelas diperlihatkan didalam video pun sekalipun, Anwar masih boleh terus bersilap mata menepis sambil menuding jari ke pihak lain jika beliau adalah yang tertuduh. Namun begitu sesuatu yang pelik berlaku bila Anwar pula menjadi watak yang menuduh.

Tanpa sebarang bukti sahih sekalipun yang perlu dipaparkan beliau untuk meyakinkan rakyat marhaen bahawa dakwaannya adalah benar.

Jika Anwar berkata ada puluhan ribu warga Bangladesh datang mengundi, Anwar tidak perlu berkata di mana mereka ini akan mengundi, peti mengundi yang mana satu. Jika Anwar berkata akan ada sebuah helikopter yang menjatuhkan peti undi, beliau tidak perlu sebut jatuh dimana, bila dan di saksikan oleh siapa. Malah tidak perlu pun mengatakan kawasan mana yang kekurangan bag undi walaupun setiap daerah mengundi sudah ada jumlah bag dan peti undinya.

Begitu juga jika Anwar dan pembangkang mengatakan ada 'black out' atau bekalan elektrik terputus, beliau tidak perlu sebut di kawasan mana dan bila ianya berlaku, berita ini terus sahaja menjadi bahan yang dipercayai kesahihan oleh mereka yang tidak lagi ada daya kemampuan untuk berfikir secara lurus dan waras.

Skrip lakonan Anwar terlalu terbuka dan terlalu mudah dijangka. Pernah beliau mengumumkan akan bersara jika pakatan pembangkang gagal menawan Putrajaya, namun kenyataan tersebut hanya sah laku untuk dirinya sahaja kerana pada hari yang lain atau berikutnya Anwar pasti akan mengubah skrip yang baru.

Semakin terserlah polemik ini, Anwar kini menyatakan bahawa kerjanya masih belum selesai walaupun beliau pernah mengumumkan jika pembangkang kalah atau tidak menjadi Perdana Menteri maka beliau akan berundur dan bersara dari politik. Sampai bila pun kerja Anwar tidak akan selesai. Jika selesai, beliau akan malu atau jatuh sakit.

Dengan tuduhan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak telus walaupun beliau dan anaknya telah menang kerusi yang ditandingi, Anwar sebenarnya mahu meneruskan rencana 'kalah'nya kerana pada awalnya beliau menjangkakan dan mengetahui akan kalah.

Setelah mengenal pasti 'kambing hitam' iaitu SPR sejak sebelum bermulanya PRU-13 lagi, maka Anwar tetap meneruskan agenda 'kalah'nya terhadap badan tersebut walaupun dakwaan yang diberikan tidak konkrit namun agenda utama adalah untuk mewujudkan sesuatu 'isu' yang tidak boleh dihentikan malah perlu berterusan.

Anwar tidak pernah berubah dan tetap tidak akan berubah, dari dulu sehingga kini namun yang paling menyedihkan adalah masih ramai pihak yang tidak dapat melihat permainan politik ini, seolah-olah terlalu jahil. Bukanlah sesuatu yang sangat menghairankan perkara ini boleh berlaku, kerana penyokongnya sekalipun tidak dapat mengenali lenggok dan 'body movement' Anwar memandangkan mereka ini tidak rapat mengenalinya secara mendalam, maka apatah lagi untuk membaca pergerakan dan tindakannya.

Seperti sebuah novel, watak Anwar sudah boleh di baca. Hanya yang menambahkan keseronokan membaca novel ini adalah apabila melihat Anwar begitu bersungguh-sungguh menghayati watak lakonannya, walaupun rakyat sudah pun boleh mengagak intipati lakonan terbaik beliau sebelum membacanya di muka surat terakhir.

Fakta PRU13 : Realiti Pengundi Cina Tolak BN.


Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) Ahad lalu mencerminkan corak pengundian dari segenap sudut pandang.

Ianya turut dikejutkan dengan sokongan majoriti pengundi Cina dilihat bersatu menolak pembentukan Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Sungguhpun pelbagai faktor dan alasan sampingan diberikan, tiada pihak berkemampuan menidakkan faktor paling utama ini apabila 90 peratus pengundi Cina memberikan sokongan padu kepada gabungan kerjasama DAP, PKR dan PAS.


Merujuk jadual di atas, hasil kajian berdasarkan jumlah kerusi BN mengikuti komposisi kaum cina di peringkat Nasional jelas menunjukkan peningkatan mendadak pengundi cina terhadap parti pembangkang.

Bagi kawasan minoriti pengundi cina (20% - 30%), BN memperolehi jumlah kerusi lebih tinggi bagi kawasan Parlimen dan DUN seluruh Negara. Sebaliknya, Pakatan Rakyat memonopoli majoriti jumlah pengundi yang sama bagi kawasan lebih dari 50%.




Corak pengundian Pakatan Rakyat juga dilihat sangsi apabila jelas menunjukkan perbezaan ketara kemenangan BN mengikut status jumlah pengundi kaum cina di peringkat Negeri.

Kawasan pengundi kurang 40% mempamerkan kekuatan pengundi Melayu dan India yang mentafsir tahap sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.




Ianya turut memberi kekalahan teruk buat MCA dengan hanya memperoleh tujuh kerusi Parlimen daripada 37 kawasan yang ditandingi manakala GERAKAN memenangi satu kerusi Parlimen daripada 11 yang ditandingi.

Kedudukan itu jauh ketinggalan daripada 38 kerusi Parlimen yang diraih DAP hingga menjadikannya parti dominan dalam pakatan pembangkang berbanding PKR dengan 30 kerusi dan PAS dengan 21 kerusi.





Apakah corak pengundian itu tidak menunjukkan bahawa orang Cina dalam negara ini tidak menyokong gagasan 1Malaysia yang berterusan diperjuangkan Najib?

Ada juga penganalisis Cina memberi alasan bahawa sebagai suatu bangsa yang amat pragmatik mereka selalunya memberi sokongan kepada pihak yang mereka anggap akan menang dalam sesuatu pertarungan.




Apa pun alasan yang diberikan dalam menunjukkan pengundi Cina tidak bersikap perkauman dan sekadar mahu menunjukkan bantahan kepada MCA dan GERAKAN, hakikatnya mereka sudah menolak BN pada PRU13


Friday, May 10, 2013

Bantahan terbuka, perhimpunan tidak bantu pilihan raya diadakan semula - SPR



Sebarang bantahan terbuka atau perhimpunan tidak mampu mengubah keputusan pilihan raya umum atau mengakibatkan ia diadakan semula, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata sebaliknya calon atau mereka yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) boleh memohon semakan supaya pilihan raya diadakan semula dengan mengemukakan petisyen selepas pewartaan keputusan oleh SPR, mengikut undang-undang.

"Selepas diwartakan dalam tempoh 21, mereka boleh buat petisyen, itu yang betul dan kalau bukti-bukti itu jelas serta lengkap dan pihak hakim mengakui wujudnya perlakuan rasuah, penipuan atau menyalahi undang-undang, maka mungkin Hakim Mahkamah Tinggi berkenaan akan memutuskan bahawa keputusan pilihan raya itu tidak sah.

"Dengan itu barulah boleh diadakan pilihan raya semula, tetapi jika dibuat perjumpaan atau perhimpunan seperti malam ini, yang saya pun tak tahu apa maksud dia, sebenarnya tidak akan mengubah apa-apa yang boleh mengakibatkan pilihan raya diadakan semula," katanya selepas ditemu ramah Radio24 di Wisma Bernama Rabu.

Abdul Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas perhimpunan haram pembangkang di Stadium Kelana Jaya malam ini, yang kononnya diadakan bagi menyatakan rasa tidak puas hati berhubung keputusan PRU13 Ahad lepas.

Di sebalik pelbagai tuduhan seperti isu dakwat kekal, pengundi hantu, orang asing diguna sebagai pengundi dan bekalan elektrik terputus, Abdul Aziz berkata beliau yakin PRU13 berlangsung secara bersih serta teratur, dan SPR sama sekali tidak terbabit membantu mana-mana pihak memenangi pengundian.

"Saya ingin nyatakan bahawa pilihan raya yang diadakan adalah begitu saksama, yang menang bukan sebab ditolong SPR, dan yang kalah bukan kerana tidak dibantu SPR, yang menentukan kalah menang di Malaysia ialah pengundi berdaftar yang mengundi," katanya.

Berdasarkan rekod, jumlah tertinggi petisyen berhubung keputusan PRU yang diterima SPR ialah pada 1999 iaitu 40 diikuti lebih 30 petisyen pada 2004.

Jumlah petisyen menurun kepada 26 pada 2008, walaupun ketika itu berlaku tsunami politik yang tidak berpihak kepada Barisan Nasional

Thursday, May 9, 2013

Dato' Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, angkat sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan, Sabtu ini



Hmmmmm.. minta maaf kepada sahabat yang mempercayai dan menyakini sumber maklumat dari 'Malaysia Kini' yang menyatakan Menteri Besar Negeri Sembilan menerima watikah dari Perdana Menteri ialah Dato' Lillah.

Maaf beribu-ribu maaf dan sejuta keampunan sekali lagi, yakinilah Portal Berita Negeri Sembilan (www.n9kini.com) yang mengeluarkan berita sahih.

Menteri Besar yang menerima watikah sebenar dari Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak ialah Dato' Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan. Beliau telah mengadap baginda Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir di Istana Hinggap, Seremban, pagi tadi.

Dengan ini, maka berakhirlah segala tafsiran dan tanggapan siapa Menteri Besar Negeri Sembilan yang sebenar. Tahniah Negeri Sembilan kerana memberi mandat sekali lagi kepada BN untuk mentadbir negeri ini dengan terbaik mungkin. Berita lanjutnya di sini http://n9kini.com/137049/ Mohon klik.

Seremban, 9 Mei : Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan kekal sebagai menteri besar Negeri Sembilan dan akan mengangkat sumpah di hadapan  Duli Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus Tuanku Muhriz Alamrhum Tuanku Munawir  Sabtu ini (11 Mei :  jam 10 Pagi)

Beliau yang telah mengadap baginda Tuanku pagi tadi di Istana Hinggap Seremban setelah mendapat watikah dari Perdana Menteri untuk sekali lagi memimpin kerajaan Negeri Sembilan.

Beliau juga akan melantik Exco Kerajaan Negeri Sembilan selepas majlis mengangkat sumpah.

Menurut beliau lagi , walaupun tiada wakil dari kaum Cina , kerajaan negeri tidak akan  meminggirkan mereka walaupun calon MCA tewas di kawasan majoriti rakyat berbangsa Cina, jelas beliau dalam satu sidang akhbar di Kelana Resort sebentar tadi.

Beliau akan terus melaksanakan dasar terbuka yang sedia ada dan akan meneruskan agenda pembangunan  negeri dan pertingkatkan  produktiviti Negeri Sembilan untuk menarik pelabur melabur di negeri ini.

Beliau juga menyeru agar semua rakyat kembali bersatu selepas PRU13 ini  dan lupakan segala yang menguriskan hati ketika berkempen dalam PRU 13 yang lalu.

Saturday, May 4, 2013

Awas! Perusuh Akan Pakai Baju BN


Bukan gambar sebenar

Taktik Pakatan Rakyat untuk merusuh telah pun diketahui ramai.  Mereka memulakannya dengan provokasi seperti membelasah penyokong BN serta ‘menyerang’ bilik-bilik gerakan BN dengan harapan BN akan bertindak balas sehingga terjadinya ketegangan.  

Semalam, terdedah lagi satu taktik mereka memasang bendera-bendera kecil berwarna-warni di beberapa tempat di seluruh pelusuk Kuala Lumpur dan Selangor.  Difahamkan ia merupakan pelan logistik himpunan ke arah rusuhan.  

Selain itu, kita juga sudah mengetahui pelan Anwar Ibrahim untuk melarikan diri ketika rusuhan berlaku dan terdapat tiga negara pilihannya iaitu Amerika, Australia atau satu lagi negara yang masih ‘agak’ rahsia.  

Sebelum semua ini terdedah, kita juga telah terlebih dahulu mendedahkan hujah-hujah mereka dalam berkempen, seperti mencari seorang yang menyerupai Anwar di Thailand untuk membuktikan bahawa bukan Anwar di dalam video aksi dengan China Doll.  Namun, taktik itu terpaksa dibatalkan kerana ‘mamat Thai’ tersebut jauh terlalu muda untuk diyakinkan sebagai orang di dalam video.   

Dua tiga minggu sebelum itu pula, para blogger telah terlebih dahulu menyatakan bahawa Anwar akan mengeluarkan surat dari Ulama tersohor Yusuf Qardawi bagi membuktikan konon beliau mendapat sokongan ulama.  

Dan ternyata,  Anwar benar-benar mengikut skrip dan surat itu pun dikeluarkannya semalam tetapi hari ini telah dibuktikan sebagai ditulis oleh anak Ulama itu tanpa kelulusan bapanya.  

Kali ini, satu lagi taktik PR terdedah iaitu bahawa mereka telah pun menempah 10,000 baju T berlogo Barisan Nasional untuk dipakai ketika merusuh.  Tujuannya adalah untuk memburukkan BN, sekali gus memudahkan huru-hara dicetuskan dengan terlebih dahulu berlakon untuk bergaduh dengan penyokong mereka yang lain.   Mereka menjangka, pergaduhan itu akan merebak dan ‘menjangkiti’ penyokong BN dan penyokong PR yang lain.   

Selalunya yang diupah untuk melakukannya adalah dari kalangan samseng dan juga anak-anak muda yang terkapai-kapai mencari arah tujuan yang langsung tidak memahami motif mereka di upah atau apakah kesan dari tindakan mereka.  Sangka mereka ia adalah satu keseronokan dan mungkin juga perjuangan.  Dengan itu, kita menyeru kepada ibubapa agar menasihati anak muda agar jangan mudah terikut-ikut dengan hasutan untuk membuat huru-hara.  

Di masa yang sama, kita ingin mengingatkan rakyat Malaysia agar berfikir lebih panjang sebelum terpengaruh dengan apa-apa juga kekecohan yang berlaku di depan mata kita sepanjang pilihanraya.  Jangan mudah melatah jika melihat pergaduhan, sebaliknya laporkan kepada pihak berkuasa untuk untuk mengambil tindakan.   

Jangan jayakan segala perancangan huru-hara pembangkang.  Biarkan mereka terjerit-jerit dan terlompat-lompat sesama sendiri.  Jalankan tanggungjawab dan hak anda untuk mengundi dengan tenang.  

Sokongan pengundi Paroi terhadap pembangkang kini semakin pudar



Turun bertemu rakyat bukanlah untuk bermegah dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 tetapi adalah tanggungjawab Barisan Nasional (BN) mendengar kehendak rakyat untuk diberi perhatian segera.

Calon BN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi, Mohd. Ghazali Abd. Wahid berkata, antara pendekatan yang dilakukannya ialah mendengar, mencatat dan bertindak terhadap mana-mana keperluan yang perlu disegerakan.

"Pertama, kita mesti hormat kepada penduduk. Janganlah semasa berkempen, kita terus meninggi diri. Pengundi perlu didekati dengan berhemah dan itulah prinsip saya," katanya ketika ditemui pemberita di Taman Tuanku Jaafar, dekat sini hari ini.

Tambahnya, tempoh terakhir berkempen akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk bertemu rakyat dan usaha meyakinkan mereka memilih BN Ahad ini.

"Sokongan pengundi terhadap BN amat positif. Tambahan pula dasar, transformasi dan manifesto BN yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah semakin sebati dalam diri rakyat," katanya.

Beliau yang merupakan bekas kakitangan syarikat telekomunikasi gergasi negara, Telekom Berhad (TM) negeri ini berkata, jentera BN telah lama digerakkan dalam kawasan DUN Paroi dan kali ini akan diperkuat dengan nilai-nilai kepimpinan yang berdasarkan syarak.

"Inilah masanya untuk kita menjadikan BN sebagai platform memperkukuhkan silaturrahim antara pemimpin dan rakyat, sekali gus membuktikan kepada pembangkang BN adalah parti yang menyatukan penduduk dan semua kaum," tegasnya.

Dalam majlis di Taman Tuanku Jaafar (TTJ) itu, beliau turut meraikan Kawasan Rukun Tetangga TTJ Fasa 3 Zon A yang mempunyai sebanyak 333 buah rumah dengan jumlah penduduk sekitar 1,500 orang selepas muncul johan Konvensyen COMBI peringkat negeri kategori poster baru-baru ini.



Ubah kerusi DAP Lukut kepada BN



Vincent Yeong Seng Wong (kanan) bersama barisan Gerak Gempur BN bersiap sedia untuk berkempen ketika ditemui di Kampung Sri Parit, Lukut, Port Dickson, baru-baru ini.

 Pembangkang sudah lenyap di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lukut. Calonnya dari DAP, Ean Yong Tin Sin sudah tidak ada pengaruh lagi.

Ini kerana, calon Barisan Nasional (BN) di situ, Vincent Yeong Seng Wong mula melebarkan keyakinan rakyat, malah kehadirannya di setiap pelosok sudah diterima kerana rakyat percaya dengan dasar yang dibawa BN, rakyat didahulukan dalam manifestonya.

"Teorinya mudah, DAP tidak buat kerja di DUN Lukut. Cakap bolehlah. Ini tidak serupa dengan BN, kita cakap penuh dengan isu. Bila janji, kita tepati," kata Seng Wong kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Katanya, sokongan masyarakat Cina di DUN Lukut sudah berubah dan prinsipnya mudah, jika mana-mana parti yang dapat meyakinkan kaum Cina dalam hal kesejahteraan, keamanan, ekonomi, maka mereka akan memilih parti itu.

"Dalam BN semuanya sudah terbukti dan kita punyai semua resipi itu. DAP tidak ada kerana mereka mengutamakan hak individu dalam parti dan sebab itulah krisis dalaman mereka kian meruncing," ujarnya.

Kata Seng Wong, BN pernah menang kerusi DUN Lukut pada 2004 dan ia bukanlah kubu kuat pembangkang.

"Rakyat mahukan perubahan di sini. Ini baru ubah namanya. Kita perlu memastikan kerusi DUN Lukut diubah kepada BN," ujarnya.

Seng Wong yang memegang pelbagai jawatan dalam persatuan Cina peringkat daerah dan negeri berkata, peranannya itu akan memberi peluang terbaik untuk menerang kepada ahli persatuan terutama kaum Cina mengenai perjuangan dan agenda BN.

Antara jawatan yang disandang beliau ialah Pengerusi Persatuan Cina Daerah Port Dickson, Pengerusi Persatuan Perniagaan Cina Negeri Sembilan, Pengerusi Ahli Lembaga Sekolah Menengah Chun Hwa Port Dickson dan Penyelaras Pusat Khidmat BN DUN Lukut.

"Saya yakin dan percaya, ahli dalam persatuan yang saya sertai menyokong perjuangan BN. Saya juga melihat kaum Melayu dan India di kawasan ini juga telah kembali menyokong BN," katanya.

Menurut beliau, sebagai bekas Ahli Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) beliau mempunyai pengalaman berkhidmat kepada rakyat.

Seorang pengundi DUN Lukut, Liang Yock Chooy, 59, memberitahu, dia akan terus memberi sokongan kepada BN kerana kecewa dengan khidmat pembangkang selama ini.

"Saya berharap kaum Cina memberi sokong kepada BN memenangi DUN ini. Pembangkang tidak buat kerja selama mereka berkhidmat," katanya.

Sementara itu, Cheok Wah Seng, 55, juga berharap BN menang kali ini berkata, rata-rata penduduk kesal mempunyai wakil rakyat pembangkang kerana beliau tidak mampu membawa sebarang pembangunan di pekan Lukut.




Abu Ubaidah 'imam' penduduk DUN Ampangan



Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Abu Ubaidah Redza, 61, tidak asing lagi bagi penduduk di kawasan itu, malah kelibatnya sentiasa dapat dilihat rakyat yang mesra menyapa beliau sebagai 'Haji Abu' di Ampangan, dekat sini.

Penampilannya yang bersahaja dan kadang-kala berkain pelekat dan berketayap amat disenangi penduduk di kawasan itu apatah lagi Abu Ubaidah sering dipanggil mengetuai bacaan tahlil dan yasin di rumah penduduk dalam majlis kenduri.

Baru-baru ini, beliau turut mengunjungi rumah penduduk di kawasan itu dalam majlis cukur jambul dan mengetuai bacaan doa.

Pendek kata, Haji Abu adalah "imam" bagi penduduk di DUN Ampangan tersebut.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, Abu Ubaidah berhadapan saingan daripada Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Kamarul Baharin Abbas di kerusi DUN Ampangan.

Kata Abu Ubaidah, perjuangan politiknya adalah berteraskan keikhlasan dalam usaha membantu rakyat menerima pembangunan selain menjaga kebajikan mereka.

"Alhamdulillah, setakat ini saya melihat maklum balas dan sokongan daripada penduduk amat positif. Jika saya dipilih saya amat bersyukur dan berjanji akan memberikan yang terbaik.

"Apapun saya tidak mahu bercakap tentang parti lain, yang penting kita jaga 'rumah' kita sendiri, kalau kita buat baik, Allah SWT akan balas dengan baik, kerana semua orang ada silap masing-masing, saya juga pernah buat salah dan kita bukan bersifat maksum seperti nabi," katanya.

Pengadil FIBA calon BN DUN Lobak yang cekap, bijak, adil



UTUSAN: Sejak bila anda menceburi bidang politik?

TITAN: Saya mula berjinak-jinak dengan dunia politik mulai tahun 1998 selepas mengambil keputusan untuk mendaftar menjadi ahli MCA seumur hidup sebelum lebih serius dan diberi kepercayaan untuk memegang jawatan sebagai ahli jawatankuasa MCA negeri dan naib pengerusi pemuda MCA negeri.

Adakah anda sudah berumahtangga ?

Masih bujang. Status saya ini membolehkan saya memberi fokus sekali gus komitmen dan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat. Kadang-kala saya juga tidak mempunyai masa untuk diri sendiri. Apa pun saya sudah pilih jalan ini dalam hidup saya di mana kita bukan sahaja kena korbankan masa, tenaga malah wang ringgit demi rakyat.

Apa pekerjaan anda sebelum menyertai politik?

Sebelum ini saya merupakan seorang penjawat awam iaitu pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, tetapi baru-baru ini saya terpaksa melepaskan jawatan itu selepas saya dicalonkan untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lobak ini. Ini bagi membolehkan saya fokus dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Apakah bidang sukan yang anda minati?

Saya memang meminati bidang sukan khususnya bola keranjang. Malah saya merupakan seorang pengadil ditauliahkan Persatuan Bola Keranjang Antarabangsa (FIBA). Saya sudah 17 tahun mengadili banyak perlawanan bola keranjang di dalam dan luar negara. Saya juga pernah masuk Malaysia Book of Records (MBOR) kerana menjadi antara pengadil tempatan terawal mendapat lesen daripada FIBA.

Apa yang mendorong anda untuk menjadi seorang pengadil?

Pertama, saya amat meminati permainan bola keranjang ini. Kedua, kerana saya berpendapat secara tidak langsung akan dapat mengajar diri saya untuk menjadi lebih adil dan telus. Ini kerana untuk menjadi seorang pengadil yang baik ia memerlukan anda untuk membuat keputusan yang bijak, pantas, cekap dan lebih penting adil. Contoh jika seseorang pemain itu melakukan foul kita tidak boleh teragak-agak untuk meniup wisel untuk menentukan mana pihak yang betul dan mana yang salah.

Sejauh mana ia mempengaruhi hidup anda ?

Seperti saya katakan tadi, ia amat membantu diri saya untuk membuat keputusan dengan bijak, maka jika saya dipilih untuk menjadi wakil rakyat, saya perlu adil untuk menentukan mana yang buruk dan baik. Mana pihak yang salah tetap salah dan mana pihak yang tertindas akan dibantu.

Bagaimana anda melihat penerimaan penduduk Lobak terhadap anda yang merupakan calon muka baharu Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) ?

Antara cabaran utama saya adalah untuk meyakinkan rakyat di kawasan ini yang majoritinya kaum Cina. Pemikiran mereka ini dipengaruhi oleh pembangkang yang sering memainkan sentimen perkauman selain menabur janji yang tidak boleh ditunaikan, sedangkan sejak pembangkang mentadbir di sini, semua urusan pembangunan termasuk soal kebajikan mereka dilakukan oleh Barisan Nasional (BN), Apa pun saya berharap mereka dan mula sedar, 'membuka mata' serta menilai sendiri terhadap fungsi, peranan dan sumbangan BN yang telah terbukti mampu memperjuangkan nasib mereka mencakupi semua aspek.